usrati

usrati
uhibbu antum wa antunna....abah ...emak...ena...aqim...ujai...dan naim

Thursday, July 30, 2009

Bahayanyer riya'

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Syukur ke hadhirat ILAHI, selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallah Alaihi Wa Salam serta keluarga
BERSIHKANLAH HATI INI, YA ALLAH
Riya’ ertinya ialah suka menunjuk-nunjuk segala amal ibadahnya baik dengan maksud supaya dipuji, disanjung, dan dimegahkan orang kerana ingin mencari kemasyuran keduniaan seperti pangkat, nama, kedudukan dan lain-lain lagi yang bersangkut-paut dengan hal-hal dunia.

Hukum riya’ itu adalah haram malah dibenci oleh ALLAH SWT dan RasulNYA, sebab amal-amal semestinya dikerjakannya itu semata-mata untuk mengharapkan kurniaan dan mencari keredhaan ALLAH; dengan tiba-tiba bertukar dan berubah niatnya agar apa yang diamalkannya itu untuk dilihat manusia dan mengharapkan keredhaan manusia semata-mata.

Firman ALLAH SWT dalam al-Quran berkenaan sifat riya’:
Maksudnya: “Maka kebinasaanlah bagi orang-orang sembhaygang yang mana mereka itu lupa akan sembahyangnya, dan kebinasaanlah bagi orang-orang yang menunjuk-nunjukkan amalan(orang-orang yang riya’) di dalam sembahyangnya.” (Al-Maun: 4-5)

Dalil atau keterangannya ialah, orang-orang yang riya; itu akan mendapat kebinasaan dan kecelakaan di kemudian hari yakni di Hari Kiamat. Dan perhatikanlah apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW di bawah ini:

Maksudnya: “Bahwa yang sangat aku takutkan menimpa ke atas kamu ialah ‘asy-syirkul ashghar’(perbuatan menyegutukan ALLAH SWT secara kecil), ditanya oleh Sabahat, apa dia ‘asy-syirkul ashghar’ itu? Jawab Rasulullah SAW: “Ia adalah riya’”, pada hari kiamat apabila ALLAH SWT membalas akan amalan sekalian hambaNYA, maka IA berfirman kepada orang yang riya’: “Pergilah kamu kepada orang-orang yang kamu tunjukkan amalan kamu itu(kamu riya’ kepada mereka) maka kamu lihatlah, adakah kamu mendapat daripada mereka pahala sebagai balasan amalan kamu it?”

Huraiannya, bahawa orang yang mempunyai sifat riya’ itu akan menerima kerugian daripada ALLAH SWT tidak akan memberi mereka suatu pahala pun, dan kepada orang yang ditunjukkan amalannya itu tidak ada kuasa atau berkuasa memberi sebarang pahala kepada sesiapa, malah perbuatan riya’ itu sia-sia belaka bahkan membinasakan dirinya sendiri.

Demikian halnya orang-orang yang suka menunjukkan amalannya kerana mahu dipuji, sedangkan segala amalannya itu tidak dapat diterima oleh ALLAH SWT, sebagaimana Rasulullah SAW bersabda seperti di bawah ini:

Maksudnya: “Allah ‘Azzawajalla tidak akan menerima sesuatu amalan yang di dalamnya itu terdapat riya; (walaupun hanya) seberat habuk yang kecil.”

Perkara-perkara yang ditunjuk-tunjukkannya:
Tujuannya banyak sekali, tetapi memadailah apa yang disampaikan di bawah ini, dalam lima perkara, iaitu yang berkenaan dengan tubuh, pakaian dan perhiasan, perkataan, amalannya, pengaruhnya atau di bawah perintah di samping perkara-perkara yang selain empat hal di atas yang merupakan hal-hal yang luar dari tubuh. Perinciannya adalah seperti berikut:

1.
Berkenaan riya’ tubuh, ialah suka menunjuk-nunjukkan tubuh dengan kegagahan dan kecantikan.Contohnya, sudah menjadi kebisaan pada zaman sekarang ini adalah kebanyakan remaja-remaja suka menunjuk diri mereka ke khalayak ramai dengan menampilkan rambut yang penuh gaya, misalnya rambut layer, Mohawk dan sebagainya. Semata-mata untuk dilihat oleh orang untuk dipuji. Terdapat juga sesetengah remaja zaman sekarang tidak kira lelaki mahupun perempuan, yang suka membuka aurat mereka supaya dapat ditunjuk dan dipuji oleh orang bahwa dia memiliki tubuh yang indah, molek, gebu dan sebagainya walaupun tanpa disedari dapat menaikkan nafsu orang yang melihatnya. Ada setengahnya pula suka menunjuk-nunjukkan tubuh dalam hal keugamaan, seperti ia menunjukkan bentuk tubuhnya yang kurus-kering dan mukanya yang pusat ledi supaya kelak akan disangka orang bahwa dia sentiasa berpuasa dan sentiasa berjaga malam kerana banyak mengerjakan segala amal ibadah, mengaji dan sebagainya. Dan juga misalnya lagi seperti sengaja mengusutkan rambut kepalanya dengan tidak mahu disikat, supaya dianggap orang bahwa ia seorang yang terlalu kuat beribadah sehingga tidak memperdulikan keadaan atau hal-ehwal dirinya sendiri, dan banyak lagi contoh-contohnya yang terlalu banyak.

2.
Berkenaan riya’ pakaian dan perhiasan, ialah suka menunjuk-nunjuk sesuatu misalnya memperlihatkan secara menjolok mata dengan pakaian yang indah-indah, perhiasan yang banyak dan sangat mahal dikenakan atau dipakai oleh tubuhnya, sebagai tanda bahwa semuanya itu serba mahal harganya dan lain-lain lagi. Bahkn sekarang, sudah berleluasa tren di mana orang suka memperagakan pakaiannya kerana dia lebih maju ke depan dalam segi fesyen pakaian. Tanpa malu dan segan, menunjuk-nunjukkan pakaiannya tanpa mengetahui apa sebenarnya sebab kita berpakaian. Bahkan lebih teruk lagi, dengan tidak menutup aurat. Jika dalam urusan ugama ialah seperti mengenakan dan memakai pakaian yang kasar, memakai pakaian yang pendek hingga hanya setengah betis dan memakai pakaian yang sudah lusuh, supaya orang menganggap ia seorang yang zahid atau sufi. . Terdapat juga muslimah yang sengaja untuk mengenakan pakaian yang menutup aurat, bertudung labuh, dan lain-lain lagi semata-mata untuk dilihat oleh orang lain bahwa dia adalah seorang yang alim dan menganggap bahwa dirinya seorang yang alim.

3.
Berkenaan riya’ perkataan, umpama menunjukkan kebaikan kata-katanya apabila bercakap, kefasihan lidahnya serta seni ucapannya dan lain-lain. Jikalau dalam urusan ugamanya dan lain-lain lagi. Jikalau dalam urusan keugamaan, misalnya ialah suka menunjukkan bahwa dirinya itu amat banyak sekali hafalannya kepada ayat-ayat al-Quran, Hadits dan kata-kata hikmah dari ucapan-ucapan para ulama, juga seperti mengkomat-kamitkan mulutnya dengan tidak berhenti-henti, agar orang ramai mengetahui bahwa ia adalah seorang ahli dzikir, memperlihatkan perihal amat marahnya jika ada kemungkaran, agar disanjung sebagai seorang yang bertaqwa, juga seperti cepat-cepat menyebutkan bahwa ini adalah hadits dha’if, ini sahih, ini bid’ah, “BID’AH, BID’AH, BID’AH”, dan lain-lain lagi, supaya dianggap orang bahwa dia seorang yang bijak-pandai dan alim dalam segala hal, dan juga seperti bermusyawarah perihal hukum ugama dengan niat hanya ingin mengalahkan hujah kawan dan bukannya untuk mencari kebenaran. Ada juga sesetengah orang zaman sekarang, yang menulis blog, buku, risalah dan terutamanya menghantar mesej-mesej ke cbox, shoutbox dan lain-lain lagi semata-mata untuk mematahkan hujah orang lain.

4.
Berkenaan riya’ amalan, seperti memperlihatkan kegiatan dan ketekunannya dalam pekerjaan, juga ketika memberi pertolongan menghormati tetamu dan lain-lain. Jika dalam urusan ugama pula ialah seperti menunjuk-nunjukkan bahwa di waktu solat, Sungguh lama sekali sujud dan ruku’nya, panjang bacaan doanya, supaya dikata orang bahwa ia seorang yang khusyuk, juga seperti seringkali berludah, supaya dikata orang bahwa ia seorang yang terus-menerus berpuasa dan lain-lain lagi.

5.
Berkenaan dengan selain dari empat hal yang di atas seperti menunjukkan bahwa dirinya itu besar pengaruhnya, banyak orang di bawah perintahnya, banyak pengikut-pengikut, anak-anak buahnya, dan sahabat-sahabatnya, apabila hari-raya ramai yang menziarahi ke rumahnya, kehendaknya supaya mendapat pujian daripada masyarakat kerana besar jasanya dan banyak pula ilmu pengetahuannya.

Lima perkara di atas inilah sifat-sifat anggota tubuh yang wajib disingkirkan atau dihindarkan dari lubuk hati agar terselamat dari segala macam bencana permusuhan dalam masyarakat Islam. Kerana sifat riya’ membawa suatu penyakit hati yang merbahaya pada orang yang kurang imannya kepada ALLAH SWT dan RasulNYA, dari itu bersungguh-sungguhlah mencari kesimpulan iman yang sebenarnya agar tidak kecewa di dunia dan akhirat.

Lima perkara di atas inilah sifat-sifat anggota tubuh yang wajib disingkirkan atau dihindarkan dari lubuk hati agar terselamat dari segala macam bencana permusuhan dalam masyarakat Islam. Kerana sifat riya’ membawa suatu penyakit hati yang merbahaya pada orang yang kurang imannya kepada ALLAH SWT dan RasulNYA, dari itu bersungguh-sungguhlah mencari kesimpulan iman yang sebenarnya agar tidak kecewa di dunia dan akhirat.

Sesudah kita mengetahui semua perkara penyakit riya’ dan bentuknya masing-masing, ada kemungkinan kita akan mempunyai sangkaan bahawasanya semua amalan itu tidak akan mempunyai sangkaan bahawasanya semua amalan itu tidak boleh dperlihatkan, tidak boleh ditunjuk-tunjukkan malah wajib disembunyikan. Oleh yang demikian, ini juga tidak wajar, kerana ada pula amalan yang boleh diperlihatkan, jika mempunyai niat seperti berikut:

1. Wajib mengajak atau mengajar orang ramai supaya mencontohi atau gemar mengerjakan sebagaimana yang ia lakukan, misalnya bersedekah dengan berterang-terangan di hadapan khalayak ramai, supaya orang lain yang mampu menirunya. Jadi memperlihatkan sedekah itu perlu kerana itu adalah suatu tauladan yang dianjurkan oleh ugama atau suatu Sunnah Nabi SAW, sebagaimana Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Barangsiapa yang membuat sunnah(kelakuan), lalu ia memulainya lebih dahulu, maka ia memperoleh pahalanya sendiri dan pahala orang yang mengikutinya(meniru kelakuannya).”

Ayat di atas ini membuktikan bahawa bolehlah kita memperlihat atau menunjukkan sesuatu kebaikan di khalayak ramai kerana mengikut sunnah, tetapi di dalam hati janganlah sesekali berdetik sedikitpun perasaan riya’ malah hendaklah kita merendahkan diri kepada ALLAH SWT, bersebab segala pemberian yang ikhlas tanpa riya’ adalah suatu perbuatan yang diredhai ALLAH SWT.

2. Memberitahu apa yang telah diamalkan setelah selesai dengan harapan supaya orang ramai suka memberinya pertolongan bahkan meneruskan apa yang telah diusahakannyaa; misalnya sedaya upaya meramaikan jema’ah dalam masjid, surau dan sebagainya, kemudian memberitahu bahwa dia juga akan memberikan sedikit pelajaran atau pengajian di situ tiap-tiap habis solat subuh contohnya.

Perkara yang di atas inilah wajib diisi di lubuk hati seseorang, kerana niat yang baik itu direhai oleh ALLAH SWT. Tidak semestinya semua amalan mesti disembunyikan, padahal ugama menggalakkan sesuatu yang baik untuk amlan yang telah dikerjakan, tetapi tidak bercampur-aduk dengan sifat riya’. Tanpa riya’, segala pemberian sedekah adalah ikhlas, bukannya meminta sesuatu balasan atau menunjuk-nunjuk kebanggaan.

Masih ramai terdapat manusia yang tidak mahu beramal kerana takut riya’. Ini juga adalah sesuatu kesalahan di sisi ugama dan member peluang kepada syaitan untuk membinasakannya. Oleh yang demikian itu, selama kita mengetahui masih ada yang perlu diamalkan, jangan sesekali enggan melakukannya, sedangkan amalan adalah suatu kewajipan yang mesti diusahakan, dikhuatiri jangan sampai hatinya dirasuki oleh godaan syaitan, kemudian menimbulkan riya’.

Kita wajib ingat bahwa ALLAH SWT itu mengetahui segala sesuatu yang tersembunyi atau niat hati yang riya’. ALLAH SWT akan memberi balasan menurut apa yang menjadi pengkhianat hati. Jika keikhlasan yang ada pasti dapat memperoleh pahala yang besar dan jika riya’ bersarang di hati sudah pasti dileburkan pahala amalannya itu dan tidak ada kemanfaatannya sama sekali.

Demikian pula riya’ yang tersembunyi, iaitu mengerjakan sesuatu amalan dengan keikhlasan dari permulaan kalinya, tetapi telah selesai, lalu ada pula yang memuji, kemudian dia merasa gembira dan senang sekali mendengarkan pujian tersebut. Inilah perbuatan yang tergolong daam riya’ khafi atau tersembunyi atau halus, maksudnya kurang banyak diketahui oleh umumnya manusia. Tetapi jika kegembiraan dan kesenangannya itu kerana memperoleh keutamaan ALLAH SWT itu bukanlah tergolong dalam sifat riya’ lagi, sebab mempunyai sandaran hati iaitu bukanlah kegembiraan dan kesenangan itu kerana memperoleh pujian orang lain, tetapi kerana memperolehi fadhullah atau keutamaan ALLAH SWT.
Dalam hal ini ALLAH SWT berfirman:

Maksudnya: “Katakanlah: (Bahwa semua amalan itu dapat terlaksana) dengan keutamaan serta kerahmatan ALLAH, maka baiklah mereka bergembira dengan yang sedemikian itu.”

Demikianlah persoalan riya’ yang telah digambarkan di atas ini dengan terang dan nyata sebagai suatu panduan akhlak yang ingin mencari kesucian diri. Untuk kebahagiaan hidup yang sejati dalam berugama, wajiblah dihindarkan segala macam sifat riya’ dari sisi kita agar hati sentiasa dalam kejernihan dan suci bersih. Mudah-mudahan ALLAH SWT menerima segala persembahan amalan yang dikerjakan dan terselamat dari azab siksa neraka jahanam di hari pembalasan.

No comments:

Post a Comment

Allahu Akbar

Allahu Akbar
Ya Allah kerdilnya diriku ini